Sunday, May 31, 2009

Angkasawan Negara popular di AS


Dr Sheikh Muszaphar (berdiri tiga di kanan dari atas), ketika menghadiri persidangan Assocation Space Explorers (ASE) di Seattle, Amerika Syarikat.

Jalur Gemilang berkibar di pentas ASE bukti Malaysia diterima negara maju lain dalam program penerokaan angkasa lepas

KETIKA rakyat Malaysia sibuk berpuasa dalam bulan Ramadan yang mulia ini, saya berlepas ke Washington, Amerika Syarikat (AS) pada 11 September dan buat kali kedua berada di sana hingga 23 September lalu.

Saya berada di Amerika Syarikat untuk berkongsi pengalaman dan menyampaikan ceramah motivasi kepada penduduk Islam yang menjadi golongan minoriti di sini. Kali pertama berada di sana adalah tiga bulan lalu apabila dijemput oleh Syurah Islamic Council di California.



Kunjungan ke negara yang terkenal dengan teknologi angkasa lepas itu juga memberi peluang saya berkenalan dengan ramai tokoh serta ilmuan AS yang lantang bersuara memberi ceramah motivasi kepada umat Islam di sini.

Pelbagai pengalaman saya pelajari. Saya perhatikan umat Islam di Amerika Syarikat bersatu memperjuangkan hak mereka memandangkan mereka adalah golongan minoriti di sini. Mereka bekerja keras untuk bersaing dengan bangsa lain.

Ini membuatkan saya bersyukur sebagai anak Malaysia kerana mendapat pelbagai peluang dan kemudahan di negara kita.



Dr Sheikh Muszaphar, bersama masyarakat
Islam di Washington, Amerika Syarikat.


Saya berada di Redmond, Washington selama tiga hari dijemput oleh MAPS (Muslim Association Of Puget Sound) berkongsi pengalaman bersama penduduk Islam di kawasan ini. Mereka begitu bersemangat untuk mengetahui mengenai kehidupan di angkasa lepas, terutama mengenai ibadat di angkasa lepas.

Di sini, saya juga berkesempatan berjumpa beberapa pelajar Malaysia yang bekerja di syarikat Boeing.

Selama seminggu saya berada di Seattle, sebuah bandar yang menempatkan syarikat utama AS seperti Boeing, Microsoft, Starbucks dan Amazon.

Tujuan utama saya berada di sini adalah sebagai ahli baru kepada Assocation Space Explorers (ASE), sebuah pertubuhan elit yang dianggotai oleh astronaut dan cosmonaut seluruh dunia. Setiap tahun ASE mengadakan persidangan di seluruh dunia untuk membincangkan pelbagai isu berhubung penjelajahan ke angkasa lepas dan berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai hala tuju manusia ke angkasa lepas.

Saya sendiri memberikan persembahan mengenai hala tujuan Malaysia dan Islam menerokai angkasa lepas. Saya berkesempatan berjumpa ramai cosmonaut dan astronaut seluruh dunia yang kebanyakan mereka menerokai angkasa lepas pada tahun 1970 dan 1980-an dari Romania, Hungary, Bulgaria, Poland dan Kazakhstan.

Begitu bangga apabila melihat Jalur Gemilang dikibarkan di atas pentas upacara ASE bersama bendera negara lain membuktikan Malaysia diterima oleh negara maju lain dalam program penerokaan ke angkasa lepas.

Saya berjanji dan sedang berusaha untuk membawa persidangan ASE ke Malaysia pada masa akan datang supaya rakyat Malaysia berkesempatan berjumpa wira negara yang begitu berpengalaman dalam bidang angkasa lepas.

Pelbagai program dijalankan sepanjang seminggu berada di Seattle, termasuk melawat Universiti Washington. Setiap individu dihantar ke tempat berasingan untuk berkongsi pengalaman mengenai angkasa lepas bagi menggalakkan golongan muda berkecimpung dalam dunia sains dan matematik.

Saya sendiri memberi ceramah kepada Islamic School of Washington, Boeing dan Spaceflight Museum dan sambutan yang diterima amat menggalakkan. Ramai rakyat AS mengetahui mengenai penjelajahan anak Malaysia ke angkasa lepas dan mengikuti perkembangan saya selama 12 hari di ISS .

Suatu penghormatan buat diri ini untuk bersama seluruh astronaut dan cosmonaut seluruh dunia, membawa imej negara ke peringkat antarabangsa dengan harapan Malaysia akan mendapat pelbagai manfaat, terutama dalam bidang angkasa lepas.


Wassalam.

No comments:

Post a Comment